Thursday, June 7, 2012

POKOK-POKOK YANG MENGHASILKAN SERANGGA UNTUK BURUNG WALIT

Kita semua mengetahui bahawa walit memakan serangga yang terbang ke udara. Ada di antara serangga-serangga ini berkait rapat dengan bunga dan ada pula yang yang berkait dengan buah pokok-pokok tertentu. Ini bermakna pokok-pokok atau tanaman ini boleh membantu menarik minat walit untuk ke RBW yang kita bina, jika pokok-pokok ini berada berhampiran dengan rumah berkenaan.


Pokok-pokok yang diceritakan di dalam penulisan ini adalah hasil penelitian saya sendiri. Ada di antaranya telah disebut dan dirakam di dalam buku-buku walit dari seberang. Ada juga di antaranya yang telah dirakamkan di dalam blog dan halaman web individu pengusaha serta peminat walit yang lain.


Pokok yang pertama dikaitkan dengan walit ialah pokok Rhu ( Pinus radiata ). Di Indonesia ia dikenali sebangai pohon Cemara. Lokasi pemerhatian saya ialah di kalangan pokok-pokok Rhu di sekitaran water front, Kuala Terengganu. Pada tahun 2010, saya kerap ke water front ini untuk meneliti perangai walit, yang berada di rumah-rumah burung walit di Kg China Kuala Terengganu, terutamanya di awal pagi sewaktu walit terbang keluar untuk pergi memburu makanannya.


Sebaik sahaja walit-walit ini keluar beramai-ramai di awal pagi, kira-kira jam 6.20 pagi, saya perhatikan di antara pokok yang menjadi tumpuan sesetangah walit ialah pokok-pokok Rhu yang berada di sini. Walit-walit ini akan mengelilingi pokok-pokok Rhu di sini, ada yang lama dan ada yang dikunjungi oleh sekelompok walit. Saya perhatikan walit-walit ini menangkap serangga yang terbang di sekeliling pokok ini terutamanya di bahagian pucuk. Dalam tempoh kira-kira 20 minit, setelah serangga habis di makan, walit-walit ini akan terbang menuju ke arah hulu sungai, sambil melalui kawasan tanaman dan pokok-pokok yang berada di tepi sungai tersebut.




Sambil itu saya sempat memerhatikan segelintir walit yang menjunam dua kali ke permukan sungai dan kemudian meneruskan penerbanganya ke hulu sungai. Saya kurang pasti sama ada walit-walit ini turun untuk meminum air atau mempamirkan sebahagian daripada perangai walit itu sendiri. Air sungai disini adalah air payau.




Pokok yang kedua dan berkaitan dengan walit ialah pokok petai belalang ( Leucaena luecocephala ). Di dalam penulisan buku walit dari Indonesia, ia disebut sebangai Lamtoro. Patai belalang ini berbunga dari masa ke semasa. Jika kita perhatikan pada jarak yang dekat, memang bunga pokok petai belalang ini menarik minat beberapa jenis serangga pelbagai saiz. Kebanyakkanya serangga ini dari aturan Hymenoptera.




Saya juga berkesempatan melawat sebuah RBW di daerah Marang, Terengganu yang sememangnya ditanam pokok petai belalang berhampiran dengan RBW yang didirikan. RBW ini menghasilkan kira-kira 3 kilogram sarang sebulan. Pokok petai belalang adalah merupakan satu jinis pokok yang kita boleh tanam dan sesuai jika ditanam berhampiran dengan RBW kita. Cara menanam dan penjagaannya juga mudah.






Ke tiga, ialah pokok nangka ( Artocarpus heterophyllus ). Jika kita meneliti pokok nangka ini, terutamanya yang kurang penjagaannya, terdapat satau atau dua buah nangka yang rosak dan buruk. Ia berbau seperti nangka yang masak, banyak serangga terbang dan bebari yang tertarik kepada buah ini. Seperti juga pokok sebelum ini, walit kelihatan berlegar-legar di udara dan mengelilingi pokok ini. Pemerhatian saya kali ini dilakukan di ladang milik Kaprima Prime di Alor Gajah Melaka.








Pokok yang ke empat, yang saya perhatikan menjadi minat dan tumpuan walit pada masa-masa tertentu ialah pokok Ara. Terdapat banyak penulisan dan keterangan mengenainya di dalam internet. Menurut sumber ini di dunia terdapat kira-kira 600 specis pokok Ara dan 101 daripadanya berada di semenanjung Malaysia.


Pemerhatian saya kali ini datangnya daripada dua lokasi yang berbeza. Pertama di George Town Pulau Pinang, sekitaran lebuh pantai, dan melibatkan Ara Jejawi ( Ficus microcarpa ) dan di ladang Kaprima Prime Alor Gajah Melaka yang melibatkan pokok Ara Kelumpong ( Ficus variegata ).


Bagi Ara Jejawi di Pulau Pinang, banyak walit beterbangan di ruang atas pokok ini semasa pemerhatian dibuat. Pengamatan jarak dekat mendapati pokok ini berbuah dan ada yang telah masak. Serangga terbang agak sukar dilihat kerana pokok ini besar, tinggi dan rimbun.










Bagi pokok Ara Kelumpong pula, jika kita perhatikan dengan jarak dekat di celah-celah daham pokok akan nampak serangga halus yang berterbangan dan menyerupai bebari. Ia boleh dilihat dengan mata kasar dan lebih jelas bila ada cahaya matahari yang memasuki rimbunan pokok. Populasi serangga ini paling banyak semasa buah Ara ini masak. Biasanya pokok ini bukan ditanam, ia tumbuh sendiri di merata tempat. Pokok ini berbuah sepanjang tahun. Masa ini kita akan dapat lihat walit senantiasa mengelilingi pokok. 


Saya juga difahamkan, pada hari ini telah ada pihak yang membuat semaian dan menjual pokok Ara Kelumpong ini, khususnya kepada pemilik RBW.




Pokok yang terakhir ialah pokok pisang ( Musa spp ). Penelitian saya mengenai pokok pisang ini ekoran satu maklumat ( yang saya tidak dapat pengesahan ) yang menyatakan ada sebuah RBW di Kg Tok Kah (Dungun, Terengganu) menghasilkan 10 Kilogram sarang sebulan pada tahun ke dua beroperasi. Saya cuba hendak melawat projek ini, tetapi gagal. Saya hanya dimaklumkan bahawa RBW ini terletak ditengah-tengah ladang pisang yang agak luas.


Kajian saya mengenai pokok pisang  dijalankan di ladang pisang milik Kaprima Prime, Alor Gajah Melaka. Berbekalkan dengan kanta jarak dekat ( Micro lenses ), saya meneliti beberapa pokok pisang selama dua hari berturut-turut. Terbukti, di dalam dusun pisang ini memang banyak serangga terbang dan menjadi makanan walit. Serangga terbang ini jelas terdapat dengan banyaknya pada pokok pisang yang berbunga. Ada ketikanya serangga juga terdapat di bahagian pucuk dan batang pisang itu sendiri.




Skian,




Dr Azizol Mohd Sharun



No comments:

Post a Comment