Thursday, December 8, 2016

KEJATUHAN NILAI RINGGIT BERBANDING DOLLAR AMERIKA DAN KESANNYA KEPADA INDUSTRI SBW

Salam hormat,

Hari ini rata-rata ramai ahli masyarakat kita di Malaysia mengecham kerajaan, khususnya YAB Perdana Menteri, di atas kejatuhan nilai ringgit. Bagi saya, mereka yang berbuat demikian, pada pendapat saya tidak faham apa sebenarnya yang berlaku terutamanya kesan kejatuhan tersebut kepada ekonomi negara, masyarakat dan termasuk pengusaha industri SBW.

Pertamanya, kita sebagai orang Islam perlu menerima hakikat, segala apa yang berlaku di atas muka bumi ini adalah ketentuan Ilahi, termasuklah kedudukan ekonomi sesebuah negara dan pada masa kini nilai Ringgit Malaysia (RM) berbanding dengan Dollar Amerika. Dalam pada menerima ketentuan ini, kita perlu terus bersyukur, bersabar dan berusaha mencari jalan terbaik khususnya bagi kita yang terlibat dengan industri SBW ini, bagaimana kita boleh meraih pendapatan tinggi dalam keadaan sekarang ini.

Kedua, mungkin ramai juga di antara kita yang terlibat dengan industri SBW terbawa-bawa memarahi pucuk pimpinan negara kita. Bagi saya itu satu perbuatan yang salah. Kita semua perlu terus bersyukur kerana kejatuhan nilai ringgit telah menaikkan harga SBW di pasaran tempatan. Kerana apa? Kerana SBW kita apabila diperdagangkan di peringkat antarabangsa atau diekspot keluar negara, ia diperdagangkan melalui perantaran Dollar Amerika.

Kesan positif ini bukan sahaja terhadap komoditi SBW, termasuklah juga komoditi-komoditi negara kita yang lain, seperti minyak dan minyak sawit. Jadi kita perhatikan sekarang harga BTB sawit yang dinikmati oleh peneroka FELDA khususnya, juga bertambah baik. Bersyukurlah.

Dalam apa juga keadaan perbandingan nilai ringgit dengan dollar Amerika, di situ kesanya ada kebaikkan dan juga keburukkannya. Soalannya sejauh mana kita dapat melihat, menterjemah dan bersedia meraih kekuatan dan keberhasilan di dalam ke dua-dua keadaan tersebut.

Bagi pengusaha semua, sekaranglah masanya untuk kita menyegerakan keberhasilan pelaburan kita, supaya keberhasilan dan pendapatan kita tinggi. Cari ilmu dan kemahiran. Tingkatkan hasil dan pebaiki segera RBW yang dikatakan berada di dalam ICU. Jangan berlengah. Saya bimbang dengan trend kenaikan harga minyak dunia sekarang dan di masa yang akan datang, kemungkinan RM akan terus bertambah kukuh berbanding Dollar Amerika dan harga SBW akan jatuh semula.

Dari sudut yang lain pula (terlanjurkan bercakap hal kejatuhan nilai ringgit), saya masih ingat di awal tahun 70han di mana nilai duit kita tidak jauh berbeza dengan dollar Singapura. Ramai rakyat kita, termasuk saya, ke Singapuira untuk membeli belah. Barangan di Singapura dikatakan lebih murah. Beratus juta wang kita telah mengalir ke Singapura. Kini, wang Singapura telah meningkat tinggi. Kesannya, ramai orang Singapura pergi berbelanja di Johor dan Malaysia amnya kerana barangan dan perkhidmatan kita lebih murah. Orang Johor sudah tidak mampu lagi berbelanja di Singapura kerana mahal. Amnya wang Singapura mengalir ke Malaysia.

Demikian juga keadaannya kesan pertukaran wang kita dengan negara Thailand. Semasa era yang sama (70han), nilai wang kita lebih tinggi berbanding Thai Bath. Banyaklah wang kita mengalir ke Selatan Thai. Kalau tuan-tuan perhatikan kebanyakkan bandar-bandar di Selatan Thai berkembang maju sisebabkan ramainya rakyat Malaysia berbelanja di sana. Saya dimaklumkan kini wang Thai Bath lebih kukuh berbanding RM. Saya berharap kesan positifnya, kuranglah rakyat kita ke Golok mahupun ke Kerabi bagi tujuan membeli belah dan bersosial. Jika ini berlaku, bukankah itu satu kesan yang baik kepada umat Islam negara ini?

Saya juga dimaklumkan pada masa yang sama pengukuhan wang Rupiah Indonesia turut berlaku. Bagi saya bagus begitu. Kerana apa? Saya berharap ramai pekerja dari Indonesia akan dapati bekerja di Malaysia sudah sedikit pendapatannya (apabila wang tersebut di bawa balik ke Indonesia). Saya berharap akan ramai yang balik ke Indonesia semula. Isu pendatang tanpa izin dan kesan negatif lain yang berkaitan juga diharapkan dapat diatasi segera. Saya juga percaya,  dalam keadaan pertukaran mata wang sekarang ini, lebih ramai penduduk Dumai (Di Sumatra Selatan) akan mampu mendapatakan rawatan penyakit di hospital-hospitan di negeri Melaka. Maknanya wang Indonesia akan mengalir masuk ke Melaka. Bukankah itu satu rahmat yang seharusnya kita bersyukur?

Di sektor pelancungan pula, akan lebih ramai pelancung daripada negara China (misalnya) akan datang dan berminat untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama pelancungan mereka kerana pakej pelancungan kita telah menjadi murah kepada mereka.

Dari sudut negatifnya pula, satu implikasi yang berlaku ialah, harga barangan yang diimpot menjadi lebih mahal. Misalnya cili dan kelapa yang kita impot. Disebaliknya, ia juga merupakan peluang baru bagi sektor pertanian untuk melibatkan diri dan menjadikan sektor tersebut lebih berdaya saing semula.

Cuma saya perhatikan keadaan sebegini mungkin tidak cukup lama untuk menampakkan kesan positifnya kepada negara, masyarakat dan orang perseorangan. Sama-sama kita ikuti perkembangnya.

Banyak lagi faedah ekonomi dan sosial dalam keadaan kejatuhan nilai RM berbanding Dollar Amerika. Carilah dan munafaatkan segera untuk diri dan keluarga.


Renung-renungkan.


Skian



Dr Azizol bin Mohd Sharun

No comments:

Post a Comment