Tuesday, May 15, 2012

BURUNG HANTU PEMANGSA WALIT

Bagi mereka yang hendak mendirikan sebuah Rumah Burung Walit (RBW) perlu sedar bahawa burung hantu adalah merupakan musuh walit.




RBW yang didirikan di kawasan perkampungan, di dalam ladang kelapa sawit, di kebun-kebun getah dan di pinggir sawah padi, burung hantu terdapat dan perlu diambil kira di dalam perancangan sewaktu hendak membena bangunan dan pengurusan sesebuah RBW. Jika tidak terkawal, burung walit tidak akan menduduki rumah yang dibena. Bagi RBW yang telah didiami, walit akan meninggalkan rumah tersebut.


Satu daripada rungutan atau bentuk aduan yang kita terima, dan berkemungkinan besar ada masalah burung hantu, seperti ini: "RBW saya sudah berumur 6 tahun, sarang tak sampai sekilo pun sebulan".


Kaedah pencegahan yang pertama yang kita boleh gunakan ialah dengan memilih rekabentuk di bahagian kemasukan walit. Pengetahuan umum menyatakan bahawa burung hantu tidak begitu berminat dan pandai terjun ke dalam bangunan, berbanding dengan dengan menggunakan lubang sisi atau tepi. Dari sudut kos terlibat, pembinaan yang menggunakan lubang sisi adalah lebih murah daripada rekabentuk lubang terjun atau lubang junam. Jadi buatlah pilihan yang sesuai buat anda.




Pengalaman saya mendapati, bagi lubang atau kekotak terjun yang besar, misalnya 10'x10' dan kemudianya ada pintu masuk ke dalam nesting area yang juga besar (lihat gambar berikut), burung hantu masih boleh masuk ke dalam bangunan.




Jika anda memilih rekabentuk begini, saya cadangkan supaya anda mengguna dan memasang sistem pagar elektrik di atas tembok dinding kotak junam dan di atas lantai pintu masuk ke nesting room (gambar di atas).Jika anda menggunakan sistem ini, ia perlukan pemantauan dari masa ke semasa. Jika ada binatang lain yang telah mati dan tersangkut di atas pagar ini, ia perlu dibersihkan dan jika dibiarkan sistem tidak akan berfungsi dengan baik. Jika berlaku juga electric failure di malam hari, misalnya selepas hujan petir yang kuat, sistem ini perlu dihidupkan semula dan jangan dibiarkan tiada bekalan elektrik beberapa hari, burung hantu sempat memasuki bangunan.




Penggunaan sistem pagar elektrik ini juga memerlukan kita meletakkan tanda pagar elektrik di lokasi yang sesuai. Bimbang tuannya sendiri yang terlupa dan terkena kejutan elektrik.


Pemerhatian saya juga, kaedah lubang terjun melalui sekeping atap ardex (lihat gambar berikutnya) setakat hari ini tiada pencerobohan oleh burung hantu berlaku, berbanding dengan kaedah lubang terbuka luas seperti di dalam gambar di atas sebentar tadi.






Bagi RBW yang menggunakan kaedah kemasukan walit menggunakan lubang tepi atau sisi, pelbagai kaedah pencegahan dan pengawalan telah dibuat. Ada yang memasang paku di lantai lubang. Ada pula yang memasang gulungan kawat berduri dan bermata seperti pisau dan ada juga yang menggunakan sliding gate. Anda boleh gunakan mana-mana kaedah yang sesuai buat anda. Elemen kos juga perlu diambilkira.




Pandangan semasa, penggunaan paku di atas lantai lubang masuk telah terbukti kurang berkesan dan RBW boleh dicerobohi burung hantu. Ini mungkin kerana jumlah paku yang digunakan tidak mencukupi maka dapatlah burung hantu meletakkan jari kakinya dicelah-celah paku tersebut, dengan lain perkataan hinggap di lubang masuk sebelum memasuki nesting room.


Setakat hari ini penggunaan kawat duri bergulung ( gambar di atas ) berkesan untuk mengawal burung hantu.


Ramai orang China dan yang berduit memilih untuk menggunakan sliding gate pada pintu masuk walit. Sliding gate ini berjaring halus. Gate ini beroperasi dan di kawal dengan menggunakan timer. Bermakna gate ini bergantung kepada bekalan elektrik untuk berfungsi dengan baikl. Gate tertutup secara automatik, misalnya antara jam 8 malam dan terbuka semula jam 6 pagi. Risiko utama sistem ini ialah jika berlaku bekalan elektrik terputus di saat walit hendak keluar, iaitu disebelah pagi. Telah berlaku satu kes dimana bekalan elektrik terputus di awal pagi sehingga ke tengah hari. Berlakulah kematian walit yang agak banyak disebabkan pelanggaran walit dengan pintu yang tertutup. Penutupan gate pada jam 8 malam juga ada sedikit masalah. Ada juga walit, tetapi tidaklah banyak, yang balik lewat. Burung-burung ini tidak akan dapat memasuki bangunan, dan ada juga yang melanggar gate ini dan jatuh mati.


Bagi RBW yang berada di dalam bandar dan menggunakan pintu masuk walit di sebelah tepi, pada pendapat saya tidak perlu bimbang kerana biasanya burung hantu tiada di bandar.






Kadangkala masalah burung hantu ini menjadi terlalu serius dan mengganggu emosi tuanya, berbanding dengan pelaburan yang telah dibuat, ada pengusaha yang mengambil keputusan untuk menunggu kedatangan burung hantu tersebut di malam hari dan membunuhnya dengan menggunakan senjata api.


Berkaitan dengan isu ini juga, saya suka menyarankan kepada pengusaha RBW, terutamanya yang di luar bandar dan di dalam perladangan, supaya tidak membunyikan suara memikat walit ( suara luar) 24 jam terus menerus. Matikan suara ini pada jam 8 malam. Gunakan timer untuk mengawal bunyi suara luar ini dan hidupkan semula pada jam 6 pagi. Suara luar yang terus dimainkan selepas jam 8 malam boleh memberikan signal kepada burung hantu bahawa rumah-rumah tertentu adalah rumah walit atau di mana adanya walit. Berkaitan dengan masalah ini eloklah suara luar dikawal.


Jadi baut anda yang belum membina RBW, buatlah perancangan yang terbaik serta dapatkan nasehat daripada mereka yang berpengalaman, agar masalah ini dapat dielakkan dan jika ada pun dalam keadaan yang boleh dikawal dengan berkesaan.


Skian




Dr Azizol Mohd Sharun

No comments:

Post a Comment