Saturday, May 26, 2012

SARANG TIRUAN

Semalam (25hb Mei,2012) saya diminta untuk melihat dan memberikan pandangan ke atas sebuah RBW yang telah siap dibina dan telah beberapa hari memulakan pemanggilan walit. RBW ini adalah merupakan ubahsuai sebuah rumah kediaman yang tidak digunakan lagi. RBW ini terletak di Termerloh, Pahang.


Satu perkara yang kerap saya jumpa, termasuk di RBW yang saya lawati ini, pengusaha tidak menggunakan sebarang bentuk sarang tiruan untuk memikat walit. RBW saya di Jerangau menggunakan sarang tiruan untuk memikat walit supaya menetap dan kekal tinggal di dalam rumah tersebut. Di dalam sessi ceramh saya pun selalu saya sarankan supaya dipasang sarang tiruan di dalam RBW yang baru.
Kita semua mengetahui walit muda yang kita pikat untuk menetap di dalam RBW yang kita bina, di peringkat permulaan ini, tidak mampu untuk mengeluarkan cecair air lior yang banyak untuk membuat sarang. Itu sebabnya kita lihat di peringkat awal RBW kita mendapati banyak sarang yang dibina di sudut-sudut. Andaiannya, sarang tiruan akan mempermudahkan walit muda untuk bertelor, hanya dengan touching-up sarang ini sahaja sudah boleh bertelor.
Perhatikan di dalam gambar infrared di atas. Walit telah mula hinggap di salah sebuah sarang tiruan yang dipasang. Tidak lama kemudian diperhatikan ia telah bertelor.


Kita hendaklah terus memerhatikan perkembangan di dalam sarang ini. Seterusnya telor-telor ini akan menetas.
Kira-kira sebulan kemudian, anak walit ini telah mula terbang dan meninggalkan sarang tiruan.
Apabila sarang ini dikosongkan, segeralah menanggal dan membuang sarang tiruan yang telah digunakan ini. Jika terlambat, kira-kira dalam tempoh 10 hari kemudian pasangan walit ini akan bertelor semula. Kali ini ia hanya menokok-tambah asas sarang yang telah dibina pada musim yang lalu. Bermakna pengusaha telah kerugian satu sarang untuk dijual. Jadi amat mustahak sarang tiruan ini segera di buang, setelah digunakan.


Di dalam tempoh 6 bulan pertama, saya tidak galakkan kita memasuki bangunan dan membuang sarang yang telah digunakan. Ini bagi mengelakkan kacau-ganggu. Memang tidak dinafikan dalam tempoh 6 bulan ini memang ada sarang yang telah digunakan 2 kali. Tindakan membuang sarang tiruan ini hanya dilakukan selepas tempoh 6 bulan ini berlalu sahaja.


Di musim bersarang yang akan datang, walit ini akan membuat sarang yang betul, mungkin disudut lain. Pengalaman saya tiada seekor pun yang membina sarang betul di tapak sarang tiruan yang telah kita buka. Di dalam RBW saya juga perhatikan, tidak semua sarang tiruan yang kita pasang digunakan secara serentak, ada yang digunakan selepas setahun. Tetapi akhirnya, semua sarang tiruan ini digunakan.


Ada juga sang walit ini yang cuba berjenaka dengan saya dengan membina sarang betul bersetentangan di atas sarang tiruan yang saya pasang. Walau apa pun, yang penting walit telah berjaya dipikat, mediami dan menetap di dalam RBW yang kita bina.


Sarang tiruan ini ada beberapa jinis dan berharga antara RM3.50 seunit hinggalah ke RM6.50 seunit. Bagi kawasan nesting area seluas 10 kaki persegi, andaikata jarak antara papan sirip ialah 18 inci, saya cadangkan supaya diletakkan sebanyak 3 ke 5 keping. Tiada aturan atau standard dalam pemasangan sarang ini.


Skian,


Dr Azizol Mohd Sharun

No comments:

Post a Comment