Wednesday, November 2, 2016

REKOD SEMUA EVENT YANG BERKAITAN RBW ANDA

Salam hormat,

Pentingnya membuat catatan/rekod berkitan dengan RBW anda,

1. Perlu saya tekankan di saat ini menternak burung walit bukan secara 3T, yang bermaksud Tegakkan bangunan, Tinggalkan dan Tuai hasil.

Bidang usaha akan juga berakhir dengan kegagalan, jika pengusaha melepaskan semua tanggungjawab berkaitan amalan menternak ini kepada pihak yang ke 3.

2. Rekod semua events. Misalnya, pada satu tarikh sistem mist blower telah menggantikan pemakaian alat pengabut udara biasa. Apa sahaja yang anda buat atau tambah/pinda perlu di catit. Catitan ini akan membantu anda membuat penilaian kesan setiap aktiviti/tindakan yang telah anda lakukan. Dengan lain perkataan,pengalaman anda sebagai penternak akan bertambah. Orang putih kata "profit from your experiences".

3. Amat mustahak direkodkan tarikh dan kuantiti sarang yang dipungut/kutip. Tidak secara langsung anda akan mengetahui perkembangan premis dan juga populasi walit yang mendiami rumah tersebut.

RBW yang baik digambarkan dengan kadar pertambahan populasi walit, dan akhirnya saarang walit, yang mendiami rumah berkenaan. Jika ia bertambah sekitaran 25% setahun, RBW itu berada pada tahap yang baik, termasuklah amalan peternakan yang telah dijalankan selama itu. Jika kadar pertambahan walit kurang daripada itu, sesuatu perlu dilakukan setelah penelitian dibuat. Jika pertambahan populasi melebihi 30% setahun, itu adalah yang terbaik.

Jika dibandingkan dengan premis walit di kawasan yang sama, semua rumah meningkat populasi walitnya, bermakna kawasan pemburuan makanan bagi walit-walit ini masih banyak serangga dan akan terus mampu menampung peningkatan populasi yang lebih banyak. Ini juga bermakna ada berpeluang untuk menambah premis walit daripada yang sedia ada.

Akan tetapi, jika banyak premis mengalami penurunan, ini bermakna kawasan pemburuan telah berkurangan populasi serangganya. Ini boleh disebabkan perubahan penggunaan kawasan pemburuan ini kepada sektor lain, misalnya perumahan. Kemungkinan juga, penggunaan racun makhlok perosak yang banyak dan kerap di kawasan pemburuan makanan sudah tentu menurunkan populasi serangga dan akhirnya menjejaskan perkembangan populasi walit. Satu contoh yang jelas dalam hal ini telah berlaku di Surabaya, Indonesia. Di sini perkembangan populasi terus berkurangan akibah pembangunan industri dan kilang kecil (IKS) yang dahulunya kawasan pertanian. Penghasilan sarang susut dengan banyaknya sedangkan satu ketika dahulu kawasan Surabaya adalah merupakan kawasan penghasilan sarang walit yang terteinggi di Indonesia.

Jadi, saya menyarankan jumlah walit yang menduduki sesebuah premis itu dilakukan penilaian sekurangnya 2 kali dalam setahun kemudian direkodkan.

4. Semua kematian walit juga mustahak direkodkan.

Apabila kita meneliti lantai RBW, kita akan dapati ada walit yang mati. catit berapa jumlah yang mati pada tarikh tersebut. Bezakan antara anak dan walit dewasa.

Di hujung tahun, dapatkan kadar kematian ( % ) walit secara keseluruhan dan jugak untuk kematian anak. Apabila berlaku kematian yang luar biasa, berasaskan kepada rekod-rekod sebelum itu, perlulah segera dilaporkan kepada pihak JPV untuk tindkan lanjut. Data base ini penting untuk kajian epedemeology sesuatu penyakit. Pendapat saya tidak sesuai jika kita menggunakan data daripada unggas yang lain untuk menilai permasaalahan walit.


Sekian,



Dr Azizol bin Mohd Sharun

No comments:

Post a Comment