Monday, November 28, 2016

MENTERNAK WALIT SECARA TERKURUNG MASIH TIDAK EKONOMIK


Salam hormat,

Satu ketika dahulu, sekitaran tahun 2003, ada pihak yang yakin jika kita menternak walit secara berkurung, sejak kecil hingga dewasa, akan memastikan semua anak-anak walit yang diternak, setelah dewasa tidak akan meninggalkan RBW yang asal. Cara begini juga akan memastikan RBW ada burung dan tidak gagal seperti kebanyakkan RBW yang telah dibina.

Paparan berikut merupakan usaha kedua, di Malaysia, yang saya lihat masih gagal dalam menternak burung walit secara terkurung. Maksudnya di sini, telor-telor walit ditetaskan dengan menggunakan inkubator, kemudian diasuh anak-anak walit sehingga dewasa. 


                                     Telor-Telor walit Yang Dikumpul

                           Telor walit Di Eramkan Dalam Incubator

                                Anak Walit Yang Telah Ditetaskan


Pada permulaannya, makan diberikan secara manual sehingga walit boleh terbang. Makanan, iatu serangga, dikeluarkan khas oleh satu unit di dalam projek yang sama. Setelah dewasa, makanan ditembak ke satu ruangan udara, dengan menggunakan satu corong besar yang bermotor, di mana walit-walit tadi akan menyambar makanan tersebut. 



                               Satu Ruangan Berjaring Untuk Walit Terbang


                 Infrastruktur (beratap) Yang Menghasilkan Serangga

Akhirnya, saya perhatikan projek ini menemui kegagalan. Sekarang projek ini telah terbengkalai dan beberapa pihak yang turut melabur telah mengalami kerugian yang agak besar. Salah satu faktor yang menyebabkan kegagalan ialah kos mengasuh anak-anak walit yang begitu mahal. Berkaitan dengan ini juga masalah yang dihadapi ialah untuk mendapatkan pekerja yang sanggup mengasuh anak-anak walit sehingga dewasa.

Kemungkinan besar pengusaha ini telah melawat satu projek yang serupa di Indonesia. Projek ini pernah dilawati oleh YB Menteri Pertanian kita pada satu ketika dahulu. Nampaknya di sana seolah berjaya. Satu perkara yang jelas, di sana kos buruh adalah rendah berbanding dengan di tempat kita. Kemungkinan juga pengalaman mereka yang agak lebih lama dalam bidang ini.

Saya berharap, sesiapa pun yang berhajat untuk mengusahakan projek walit seperti ini, kajilah sedalamnya dahulu, terutama kos pengeluaran walit dan isu-isu pembiakannya sebelum memulakan usaha sedemikian. Hanya pihak Universiti, pada pendapat saya, yang sesuai untuk melihat dan mengkaji kaedah ini sama ada bermunafaat atau pun tidak.


Sekian, untuk makluman semua.


Dr Azizol Bin Mohd Sharun


No comments:

Post a Comment